FAQ mengenai Isu Pengurusan.
Soalan Lazim mengenai isu pengurusan komuniti strata. Kami berharap artikel soalan lazim ini dapat membantu komuniti strata anda.
We hope you will find this FAQ about management issues helpful for your strata community.
Bolehkah pengurus bangunan (building manager) menjadi ahli jawantakuasa MC jika dia pemilik unit? Jika anaknya juga mempunyai unit, bolehkah dia menjadi ahli jawatankuasa MC?
Boleh, tertakluk kepada keputusan mesyuarat AGM. Namun tidak digalakkan kerana boleh menimbulkan konflik kepentingan.
Apakah hak pemilik petak?
Pemilik petak mempunyai hak untuk:
1. Menjalankan transaksi urusniaga dan bukan urusniaga, contohnya pindah milik, gadaian dan sebagainya.
2. Mengundi di dalam Mesyuarat Agong tahunan (AGM) dan Mesyuarat Luar Biasa (EGM), dengan syarat bahawa segala fi pembayaran kepada Perbadanan Pengurusan telah dijelaskan.
3. Menggunakan Harta Bersama yang disediakan.
4. Menerima perkhidmatan utiliti seperti bekalan air, pembentungan, perparitan, bekalan elektrik, kutipan sampah dan lain-lain.
5. Menyemak rekod-rekod kewangan Perbadanan Pengurusan.
Bolehkah pihak pengurusan didenda atas kegagalan pengasingan sampah? Bolehkah pihak pengurusan membahagikan denda tersebut dengan semua unit yang ada dalam bangunan?
Sila rujuk perundangan pihak berkuasa tempatan kawasan skim strata anda. Dibawah perundangan yang berkuatkuasa, kegagalan pengasingan sampah di skim strata akan ditanggung oleh JMB/MC. Pembahagian denda tersebut hendaklah secara caruman khas terhadap pemilik-pemilik petak dan perlu diusulkan di dalam mesyuarat agung (AGM).
Bolehkah pemilik petak menjadi staf JMB? Adakah wujud konflik kepentingan (conflict of interest)?
Boleh jika diputuskan dalam AGM.
Terdapat pemilik petak yang meletakkan kenderaan di tempat yang sama, seolah-olah parkir tersebut adalah milik beliau. Apakah tindakan yang boleh diambil?
Sekiranya petak parkir adalah harta bersama adalah tidak menjadi kesalahan. Namun menjadi kesalahan sekiranya pemilik kenderaan meletakkan halangan atau penanda atas petak parkir tersebut.
Terdapat kenderaan (kereta dan motorsikal) yang usang tersadai di lot parkir. Perbadanan Pengurusan (MC) telah maklumkan perkara tersebut kepada pemilik namun tidak diendahkan. Apakah tindakan yang perlu diambil oleh pihak MC?
Sila rujuk SOP penundaan kereta buruk yang tersadai pada pautan Pesuruhjaya Bangunan di laman web pihak berkuasa tempatan kawasan skim strata anda.
Apakah perbezaan di antara Badan Pengurusan Bersama (JMB) dengan Perbadanan Pengurusan (MC)?
Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Body (JMB) diwujudkan apabila terbukanya daftarai strata dan hakmilik-hakmilik strata dikeluarkan di atas nama pemaju. Pembeli-pembeli petak strata adalah bertanggungjawab untuk bersama-sama pemaju menjalankan pengurusan bangunan. Pemaju juga masih ada “kerusi” di dalam JMB dimana pemaju berhak memberi nasihat, mengemukakan undi dan membuat keputusan ke atas pengurusan dan penyelenggaraan bangunan. Pembeli juga wajib untuk mencarum kepada Kumpulan Wang Caruman yang diuruskan oleh pemaju pada peringkat ini.
Perbadanan Pengurusan atau Management Corporation (MC) wujud setelah hakmilik-hakmilik strata yang telah dikeluarkan dipindahmilik kepada pembeli. Pembeli, setelah diberi milik hakmilik strata secara rasmi menjadi pemilik petak strata berkenaan. MC akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengurusan dan penyelenggaraan bangunan, pengurusan rekod dan pengurusan Kumpulan Wang Caruman.
Adakah pemilik petak wajib membayar kedua-dua Cukai Taksiran dan Kumpulan Wang Caruman (Management Fund) secara berasingan?
Ya, kerana ia merupakan fi pembayaran yang berlainan.
Cukai Taksiran adalah cukai yang dikenakan kepada semua pegangan atau hartanah berkadar yang ada di kawasan pentadbiran sesuatu Pihak Berkuasa Tempatan. Manakala fi bagi Kumpulan Wang Caruman dikenakan ke atas pemilik petak dengan maksud bagi pengurusan sesuatu skim strata itu.
JMB telah mengeluarkan tiga (3) notis kepada pemilik yang memelihara ular namun tidak diendahkan. Apakah tindakan yang boleh diambil?
Aduan hendaklah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan selanjutnya.
Apa itu Harta Bersama dalam skim strata?
Harta Bersama ertinya mana-mana bahagian daripada lot yang tidak terkandung dalam mana-mana petak (termasuk mana-mana petak aksesori) atau mana-mana blok sementara sebagaimana yang ditunjukka dalam pelan strata yang diperakukan. Contohnya, lif, tangga awam, tempat letak kereta pelawat, pondok pegawai keselamatan dan sebagainya.
We hope you will find this FAQ about managenent issues helpful for your strata community. For more information, you may browse thru the relevant authorities website.
Kami berharap artikel soalan lazim mengenai isu pengurusan ini dapat membantu komuniti strata anda. Untuk maklumant lanjut, anda boleh melayari halaman sesawang jabatan yang berkenaan.